The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Sambar Khidmat A. Selvan

Jun 30, 2026 - FAS

Selangor FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain sayap kanan kebangsaan, A. Selvan, sebagai pemain baharu Gergasi Merah bagi menghadapi kancah Liga Malaysia musim hadapan.

Pemain berusia 25 tahun itu menyertai Selangor FC selepas mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang bersama Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super Malaysia sebelum ini. Dikenali dengan kepantasan luar biasa, keberanian mengasak lawan serta memiliki ‘work- rate’ yang tinggi, Selvan dijangka mampu menambah dimensi baharu kepada jentera serangan Gergasi Merah.

Selain beraksi di posisi sayap kanan, Selvan turut memiliki keupayaan untuk bermain dalam beberapa peranan di bahagian serangan dan bertahan, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan taktikal kepada Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon, menjelang musim baharu.

Mengulas mengenai kehadiran pemain itu, Kim Pan-gon percaya Selvan merupakan pemain yang menepati identiti bola sepak yang ingin diterapkan di Selangor FC.

"Selvan merupakan antara pemain yang memiliki kepantasan dalam negara ketika ini. Kepantasannya merupakan satu kelebihan yang besar, namun apa yang lebih menarik perhatian saya ialah etika kerjanya yang tinggi serta komitmennya di atas padang. Di Selangor FC, kami mahu menerapkan corak permainan yang pantas, dinamik dan agresif ketika menyerang. Silvan dilihat sesuai dengan falsafah tersebut. Selain itu, beliau juga mampu beraksi di beberapa posisi di bahagian kanan, sekali gus memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada pasukan. Saya percaya beliau akan membawa tenaga, intensiti dan kualiti yang mampu memperkukuhkan skuad musim ini."

Pernah mewakili skuad kebangsaan di pentas antarabangsa, Selvan kini bersedia untuk memulakan lembaran baharu bersama salah sebuah kelab paling bersejarah dalam bola sepak tanah air.

Mengulas mengenai perpindahan ini, Selvan menyifatkan penyertaannya ke Selangor FC sebagai satu cabaran baharu yang dinantikan dalam kariernya.

"Menyertai Selangor FC merupakan satu cabaran yang saya nantikan. Saya mahu menguji kemampuan diri untuk bersaing di tahap tertinggi dan pada masa yang sama membantu Gergasi Merah melangkah sejauh mungkin dalam setiap pertandingan yang disertai. Kelab ini mempunyai cita-cita yang besar dan saya teruja untuk menjadi sebahagian daripadanya."

Ketika ditanya mengenai proses penyesuaian diri bersama pasukan baharu, Selvan yakin beliau mampu menyesuaikan diri dengan cepat.

"Saya mengenali beberapa pemain di sini ketika bersama skuad kebangsaan, selain pernah bekerjasama dengan Coach Kim sebelum ini. Saya percaya mereka akan banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan cepat, dan saya tidak sabar untuk memulakan latihan serta membina keserasian bersama rakan sepasukan."

Kehadiran Selvan diyakini mampu menambah kepantasan, intensiti dan variasi di bahagian serangan Selangor FC dalam usaha kelab untuk terus bersaing merebut kejuaraan di pentas domestik mahupun serantau.

Selamat datang ke keluarga Gergasi Merah, A. Selvan. 

Demi Kebanggaan!